Asri: Dakwah Islam Malaysia membazir

8 June 2012


Menurut bekas Mufti Perlis, pendakwah Islam di Malaysia tidak mengikut asas pendakwahan sepertimana yang tertera di dalam al-Quran

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur usaha pendakwahan Islam di Malaysia dan menganggap menjurus kepada pembaziran wang.

Beliau membandingkan dengan usaha pendakwahan Kristian di Britain yang berasaskan pemberian khidmat kepada masyarakat berdasarkan akal fikiran.“Jika kita hendak menawan manusia, tawanlah akal dan jiwanya. Maka, nanti ajaran ini akan meresap ke dalam dirinya

“Agama yang dianugerahkan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam tidak disebarkan dengan kesungguhan. Jika disebarkan pun, ramai yang menggunakan pendekatan yang salah.

“Orang Islam bukan tidak ada wang. Namun mereka telah bazirkan kepada perkara-perkara yang tidak kena tempatnya. Pergilah lihat kepada surau-surau yang dibina oleh jabatan-jabatan agama untuk Orang Asli di Malaysia, sebahagiannya menjadi tempat binatang-binatang bersolat. Tiada petugas yang menjaga.

“Bukan sahaja kebajikan Orang Asli, tetapi surau yang dibelanjakan oleh wang zakat itu pun dibiarkan begitu sahaja. Jangan tanya kosnya yang mungkin melebihi harga patut. Namun jika kita ke kawasan pendalaman Thailand umpamanya, kita akan dapati ramai pendakwah muda Kristian yang berasal dari Barat yang sanggup tinggal beberapa tahun untuk menyebarkan agama mereka.

Hujah akal dan jiwa

Beliau berkata demikian dalam artikel terbarunya yang diterbitkan semalam bertajuk Islam Yang Dihilangkan Kelunakakannya.
Menurutnya Mohd Asri, pendekatan dakwah mesti berasaskan hujah akal dan jiwa.

“Islam agama yang berbicara kepada akal dan jiwa manusia. Nas-nas Islam berhujah dengan akal manusia, dan dalam masa yang sama memujuk mereka.”

“Banyak nas al-Quran dan hadis yang mengajar kita untuk melakukan pendekatan yang lunak dalam menyeru orang lain kepada kebenaran.Bukan melalui paksaan. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan cercaan,” katanya sambil merujuk kepada Surah at-Taubah.

Kaedah pendakwahan masyarakat Kristian di Britain beliau dapati, dibuat dengan keterbukaan dan kasih sayang.

“Bicaranya penuh dengan keterbukaan dan kasih sayang. Mereka sering mengulangi ayat bahawa kita hanya ingin berkongsi pendapat, dan menyebarkan mesej yang baik. Kita tidak ingin memaksa orang lain menjadi Kristian tetapi ingin berkongsi dengan mereka. Bertukar pandangan tentang Tuhan dan berkongsi isu-isu kemanusiaan.”

Kristian bakal memuncak di China

Hasilnya banyak anggota masyarakat Cina di Britain menjadi Kristian. Berdasarkan pemerhatiannya, beliau yakin bahawa negara China pada masa hadapan mampu menjadi negara yang paling ramai orang Kristian.

“Demikianlah pihak gereja. Mereka amat bijak apabila melihat perkembangan China hari ini. Mereka mengambil peluang yang ada. Jika masa depan China seperti yang diramalkan, sekali lagi Kristianiti berada di puncak.”

Di samping itu, beliau turut menyalahkan peranan sesetengah pihak yang mempolitikkan hubungan golongan Islam dan bukan Islam.

Ajaran-ajaran agama ini yang dibuat oleh sesetengah pihak hanya memilih nas-nas yang ungkapkan oleh al-Quran dan hadis dalam suasana peperangan tapi cuba dilaksanakan dalam suasana aman dan manusia mencapai tahap perubahan yang seperti ini.

“Sedangkan nas semasa aman dan nas semasa perang tidak sama. Hasilnya, ramai bukan Muslim gagal melihat wajah Islam yang asal.

Sumber: Free Malaysia Today

KITA encourages thoughtful, responsible discourse. Please comment judiciously, and refrain from maligning any individual or institution.
  • http://profile.yahoo.com/QBV6BKIHFU6JQ2KDB55GFHCUHM zaidan

    CAKAP MEMANG MUDAH. SI BERCAKAP PUN BELUM PASTI PERNAH TURUN BERDAKWAH DENGAN ORANG ASLI & SI BERCAKAP PUN BELUM PASTI PERNAH TURUN BERSAMA PENGUATKUASA AGAMA UNTUK MENCEGAH MAKSIAT DAN MENANGKAP ORANG BUAT MAKSIAT. MEMANG PENDAKWAH DAN PEGAWAI-PEGAWAI AGAMA ISLAM LANTIKAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL DI MALAYSIA BUKANLAH YANG TERBAIK DAN SEMPURNA ATAU BEBAS DARI KELEMAHAN, TETAPI KELEMAHAN YANG WUJUD BUKANLAH UNTUK DICANANG SELURUH NEGARA@SELURUH DUNIA, SEHINGGALAH MEMBURUKKAN IMEJ PENDAKWAH DAN IMEJ PEGAWAI AGAMA, APATAH LAGI JIKA KRITIKAN TERSEBUT BERSIFAT FITNAH, ANDAIAN DAN KENYATAAN TANPA ASAS YANG TEPAT DGN REALITI SEBENAR. SEBAIKNYA KRITIKAN DAN KOMENTAR SEPERTI
    DI ATAS DIBENTANG DALAM PERJUMPAAN TERTUTUP DAN DIBINCANG DENGAN SECARA BERHIKMAH. JANGAN LAH JUGA KOMENTAR ISLAMIAH BERSIFAT AKADEMIK YANG TINGGI DIHIDANGKAN KEPADA MASYARAKAT UMUM YANG BOLEH MENIMBULKAN KEKELIRUAN DAN SALAH FAHAM, PERBINCANGAN AKADEMIK SEHARUSNYA BERJALAN DI UNIVERSITI-UNIVERSITI, TEMPAT DI MANA LEBIH RAMAI LAGI CERDIK PANDAI AGAMA YANG TAWADUK DAN MAMPU BERBAHAS DENGAN SI BERCAKAP. KITA JUGA PERLU BELAJAR MENGHORMATI PANDANGAN DAN PENDIRIAN ORANG LAIN, KERANA TIDAK SEMUA PANDANGAN KITA HEBAT DAN BENAR PADA TAFSIRAN ORANG LAIN. WALAU TINGGI MANA SEKALIPUN ILMU KITA, TIDAK SALAH UNTUK KITA LEBIH TAWADUK DAN MENERIMA PANDANGAN DAN PENDAPAT ORANG LAIN. WALLAHUALAM BISSAWAB.

blog comments powered by Disqus