Etika Mufti Dalam Berfatwa

16 June 2012


Mengeluarkan fatwa (al-ifta’) merupakan tugas mulia dan terhormat, tetapi pada masa yang sama mempunyai risiko yang amat tinggi.

Dalam menggambarkan peranan mufti ini, al-Shātibī menyatakan bahawa kedudukan mufti di dalam masyarakat (‘ummah) menepati kedudukan nabi Muhammad SAW, sebagai pengganti dan pewarisnya.

Ini kerana mufti sentiasa menjadi tempat rujukan dan memainkan peranan utama dalam menyampaikan hukum-hukum Allah SWT. Namun, fatwa juga adalah satu camaliah ijtihād yang merupakan manifestasi terhadap dinamisme al-fiqh al-Islamiah yang sentiasa kekal relevan pada semua zaman, tempat, persekitaran dan masa.

Bagi menjadikan fatwa yang dikeluarkan dihormati dan diterima masyarakat, mufti hendaklah berpegang pada etika sebagai seorang mufti.

Sebagai seseorang mufti, beliau hendaklah sentiasa menyedari dan ingat bahawa setiap apa yang diperkatakan dan difatwakan mengenai agamanya akan dihisab di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Oleh itu, seseorang mufti hendaklah memenuhi syarat-syarat dan kriteria seorang mufti, tidak cukup hanya memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dan wawasan hidup yang luas, tetapi beliau juga wajar melengkapi dirinya dengan sifat dan etika tertentu di dalam mengemukakan fatwa, agar fatwa yang
dikemukakan itu mendapat tempat dan pahala di sisi Allah SWT dan diterima di sisi manusia serta lebih bertepatan dengan hakikat yang dikehendaki syarak.

Iman Ahmad Ibn Hambāl r.a. menyebut bahawa tidak sewajarnya seseorang itu mengangkat atau menawarkan dirinya untuk berfatwa sehinggalah terdapat pada dirinya lima perkara:

  1. Beliau hendaklah mempunyai niat. Ini kerana seseorang yang tidak mempunyai niat tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) pada dirinya dan tutur katanya.
  2. Beliau hendaklah merupakan seorang yang mempunyai ilmu, sifat kasih, lemah lembut dan penyabar serta jiwa yang tenang.
  3. Beliau hendaklah merupakan seorang yang mempunyai keyakinan yang teguh pada tugas dan pengetahuannya.
  4. Keperluan hidup seseorang mufti dalam keadaan mencukupi (al-kifayah) dan tidak bergantung pada manusia. Jika sebaliknya, mufti akan dimamah dan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.
  5. Mengenali manusia: iaitu mempunyai maklumat dan pengetahuan yang cukup tentang adat istiadat dan selok-belok kehidupan manusia. Mengetahui secara praktikal maslahat mustafti. Begitu juga mengenai helah orang yang bertanyakan fatwa kerana tidak semua pertanyaan fatwa itu bertujuan untuk mendapat jawapan fatwa.

Selain itu, terdapat banyak lagi sikap atau etika yang perlu ada pada diri seseorang mufti dalam mengemukakan fatwa. Antaranya:

1. Sebelum mengemukakan fatwa, seseorang mufti hendaklah terlebih dahulu mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memohon dan meminta petunjuk serta pertolongan dari-Nya agar diilhamkan perkara yang hak dan benar, dikurniakan untuknya kekuatan untuk sampai kepada hukum yang disyariatkan oleh Allah SWT pada setiap persoalan yang diajukan kepadanya. Selain itu, beliau juga hendaklah memohon perlindungan Allah SWT dari dorongan hawa nafsu dan godaan syaitan. Antara doa yang dianjurkan agar dibaca oleh mufti ialah, “Wahai Tuhan Jibra’il dan Mika’il serta Israfil, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Tuhan yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Engkau menghukumkan antara para hamba Engkau tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kepadaku hidayah tentang apa yang sebenarnya dalam perkara yang mereka berselisih pendapat tentangnya dengan izin Engkau. Sesungguhnya Engkau memberi hidayat kepada sesiapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang betul.

2. Mufti hendaklah memperbetulkan niat dalam mengemukakan fatwa, iaitu hanya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT semata-mata. Mufti juga mesti memastikan fatwa yang dikemukakan itu bertepatan dengan maqāsid sharciyyah (matlamat syariat) dalam menjaga kemaslahatan manusia.

3. Mufti hendaklah menyertakan dalil-dalil dan alasan-alasan yang kuat bersama fatwa yang dikeluarkan, selain cillah, hikmat dan falsafah hukum yang mendasari keputusan tersebut. Hal demikian merupakan roh bagi kesempurnaan fatwa, selain dapat merangsang akal mustaftī (orang yang minta fatwa) untuk memahaminya.

Menurut al-Qardāwī, cara ini amat penting kerana mutakhir ini, bilangan orang yang mengejek, mempersendakan Islam dan ajarannya sangat banyak, dan mereka ini tidak boleh menerima sesuatu ketetapan hukum melainkan setelah dapat mengenal pasti alasan, sebab dan tujuannya.

4. Seseorang mufti juga perlu bersedia menerima teguran untuk memperbetulkan kesalahan atau kesilapannya. Sikap ini lebih baik berbanding berterusan dalam melakukan kesalahan.

5. Mufti perlu berfatwa dengan apa yang beliau ketahui, dari perkara yang hak dan berpegang teguh pada/mempertahankan fatwa yang dikemukakannya itu meskipun boleh mendatangkan kemarahan atau perasaan tidak senang hati sesetengah pihak termasuk para penguasa dan pemimpin kerajaan. Ini kerana apa yang dicari mufti adalah keredaan Allah SWT bukanya keredaan manusia.

6. Mufti juga perlu peka terhadap adat, curuf serta suasana kehidupan manusia pada zamannya. Ini supaya beliau dapat menggabungkan fatwanya dengan realiti kehidupan ummah. Perkara ini penting kerana maklumat dan pengetahuan yang cukup tentang suasana kehidupan sebenar, adat-istiadat dan kebiasaan hidup manusia, menjadikan mufti lebih bijak dan berhati-hati dalam melaksanakan amanah Allah SWT ke atas dirinya.

7. Sekiranya seseorang mufti mendapati persoalan yang diajukan kepadanya itu mengandungi kemusykilan yang memerlukan penjelasan, maka menjadi kewajipan beliau untuk meminta penjelasan sewajarnya daripada mustaftī. [12] Ini kerana meninggalkan istifsār (tidak meminta penjelasan) merupakan kunci/penyebab kepada segala kesilapan dalam fatwa.

8. Senantiasa bersedia menasihati mustafti agar pergi kepada orang yang lebih alim daripadanya, untuk bertanyakan mengenai sesuatu permasalahan dan kemusykilan yang sedang dihadapi mustafti tanpa ada rasa tidak selesa di dalam hatinya.

9. Mufti hendaklah sedaya upaya menganjurkan dan menasihatkan kepada mustafti suatu perkara yang dibolehkan sebagai cadangan dan galang ganti ke atas perkara yang diharamkan. Ini kerana adalah penting sekiranya mustafti tersebut meminta fatwa berkenaan suatu perkara yang disangkanya adalah diharuskan dan sangat memerlukan kepada perkara tersebut, sehinggakan sanggup berusaha untuk mendapatkannya walau apa cara sekalipun.

10. Selain itu, mufti juga tidak boleh tergesa-gesa dalam mengemukakan fatwa dan menjawab persoalan yang dilontarkan kepadanya tanpa berfikir panjang dan mengamati permasalahan tersebut dengan lebih teliti.

11. Seseorang mufti hendaklah memberi perhatian serius berkaitan perkara-perkara berbangkit yang mempunyai hubungan langsung dengan realiti kehidupan yang sedang dihadapi masyarakat.

Mufti tidak sepatutnya menyibukkan diri mereka dengan menjawab persoalan-persoalan yang tidak membawa manfaat dan berkaitan dengan perkara-perkara yang belum berlaku, persoalan yang boleh memancing pendebatan dan pertikaman lidah sesama sendiri dan juga berkaitan dengan persoalan-persoalan yang bersifat menguji kebolehan seseorang mufti atau bertujuan untuk menunjukkan kebolehannya.

Perkara-perkara demikian bukan sahaja tidak bermanfaat malah kadang-kalanya boleh mengundang permasalahan dan menimbulkan kesan yang buruk terhadap masyarakat.

12. Mufti hendaklah menjelaskan sesuatu fatwa dengan jelas dan terang sehinggakan dapat menghilangkan keraguan mustaftī terhadap sesuatu permasalahan yang diajukan. Mufti tidak boleh mengemukakan fatwa yang boleh meletakkan mustaftī dalam keadaan kebingungan dan penuh tanda Tanya.

Umpamanya: apabila diajukan sesuatu persoalan, beliau menjawab: “persoalan ini mempunyai dua pendapat..!” tanpa menambah dan menjelaskan jawapan dengan sewajarnya.

13. Sebelum mengeluarkan fatwa dalam masalah-masalah yang rumit, mufti sewajarnya berbincang dengan golongan yang diiktiraf keilmuannya.

Adalah tidak wajar bagi setiap kemusykilan yang timbul dilakukan penyelesaiannya secara bersendirian tanpa diadakan sebarang persidangan atau perbincangan dengan para ilmuwan Islam yang pakar dalam bidang tersebut.

Firman Allah SWT bermaksud :“… dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu”

14. Salah satu perkara mustahak yang mesti diberikan perhatian secukupnya oleh mufti adalah mengajukan pendahuluan-pendahuluan serta persiapan-persiapan mental sidang penanya terhadap ketentuan-ketentuan hukum yang agak baru dan asing bagi mereka.

Cara yang demikian adalah sunnah Allah SWT di dalam al-Qur’ān contohnya mengenai kisah Nabi Zakaria a.s yang mendapat seorang cahaya mata dari isterinya yang mandul adalah pendahuluan bagi kisah Nabi cIsa a.s. yang dilahirkan tanpa seorang ayah.

Jika ada pasangan yang mandul, kemudian akhirnya mendapat juga cahaya mata, walhal pada ghalib kebiasaannya pasangan seumpama itu tidak pernah mendapat keturunan, maka jiwa dan mentaliti manusia akan siap sedia untuk menerima dan memperakui jika sekiranya kemudian ada seseorang dilahirkan
tanpa ayah.

Sekiranya etika yang disebutkan ini diamati dan diamalkan oleh setiap orang mufti, nescaya fatwa yang dikeluarkan akan mendatangkan impak yang positif kepada umat Islam, bahkan fatwa tersebut juga akan dapat diterima dan dihormati oleh masyarakat. Ajaran Islam pula tidak akan diberikan persepsi negatif oleh mereka yang tidak dapat memahami ajaran agama dengan sempurna.

KITA encourages thoughtful, responsible discourse. Please comment judiciously, and refrain from maligning any individual or institution.
  • Sizzle Sullivan

    Selain itu, terdapat banyak lagi sikap atau etika yang perlu ada pada diri seseorang mufti dalam mengemukakan fatwa. Antaranya:

    http://www.saraisthere.com/

  • Gabriella Ashburn

    Beliau hendaklah mempunyai niat. Ini kerana seseorang yang tidak
    mempunyai niat tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) pada dirinya dan
    tutur katanya.

    http://www.alloccasionsflowersdelivery.com

blog comments powered by Disqus